JOHOR BAHRU: Hanya kerana ingin melaksanakan tugas, seorang wartawan akhbar Sin Chew Daily terpaksa membayar harga yang mahal, selepas dikompaun Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kompaun itu dikenakan ke atasnya selepas petugas di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru itu, tempat penamaan calon N44 Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, mendakwa petugas media tersebut telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Weng Kian Yong, 42 tahun, mengakui dia dikenakan kompaun RM1,000 atas alasan tidak menjaga penjarakan fizikal.

"Saya hanya pergi kepada calon untuk mendapatkan maklumat peribadi mereka seperti nama, gambar dan nombor telefon.

"Saya tidak sangka itu merupakan satu kesalahan, kerana saya seorang yang dikenakan kompaun,  sedangkan pada waktu itu terdapat beberapa wartawan lain melakukan perkara sama," dakwanya.

Sementara itu, Editor Video Malaysia Gazette, Khairulanuar Yahaya, 47 tahun, hanya dikenakan amaran.

Selepas mengenakan kompaun, petugas KKM seramai lima orang itu dilihat meninggalkan kawasan penamaan calon.

Dalam pada itu, pertembungan di DUN Larkin kali ini hampir pasti melibatkan enam penjuru.

Barisan Nasional kali ini mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, 38 tahun, dan Pakatan Harapan meletakkan Dr Zamil Najwah Arbain, 48 tahun.

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI

Di sebelah Perikatan Nasional pula, pimpinan meletakkan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Zukifli Bujang, 44 tahun, manakala Parti Pejuang Tanah Air mencalonkan Mohamad Riadz Hashim, 49 tahun.

Ikatan Muda Demokratik (MUDA) pula meletakkan harapan ke atas Ketua Penerangan MUDA Johor, Rasid Abu Bakar, 28 tahun, sekali gus melihat pertembungan antara parti itu dengan PKR.

Selain itu, turut kelihatan seorang Calon Bebas, Norramadan Buan, 45 tahun, yang hadir untuk menyerahkan borang pencalonannya.